SUATU CATATAN RINGKAS: RIBUT PETIR KE ATAS HIZBUT-TAHRIR

SELAIN KESESATAN AL-WAHHABIYYAH AL-MUJASSIMAH YANG SEDANG BERLELUASA DI TANAH AIR KITA MALAYSIA DAN SELURUH DUNIA, ADA SATU LAGI PERTUBUHAN SESAT YANG AMAT PERLU DIPERHATIKAN JUGA IAITU HIZBUT TAHRIR. HIZBUT TAHRIR ADALAH SATU PERTUBUHAN YANG DIASASKAN OLEH TAQIYYUDDIN AL-NABHANI AL-FALISTINI (MENINGGAL PADA TAHUN 1400 H) DI LUBNAN. PENYELEWENGAN DAN KESESATAN PERTUBUHAN INI DITENTANG OLEH PARA ULAMA AHLIS-SUNNAH WAL-JAMA^AH SEDUNIA. ANTARA PENYELEWENGAN DAN KESESATAN HIZBUT TAHRIR IALAH:

1. Menghukum Orang Yang Meninggal Dunia Tanpa Bay^ah Seorang Khalifah Sebagai Mati Jahiliyyah
Antara kesesatan Hizbut Tahrir dan bukti terkeluarnya kelompok ini dari majoriti umat Islam ialah pernyataan mereka bahawa orang yang meninggal dunia tanpa membay^ah seorang khalifah, maka matinya adalah mati jahiliyyah[1]. Ini bermakna – menurut mereka – kematian orang tersebut seperti matinya orang-orang yang menyembah berhala. Bahkan, ini bermakna – menurut mereka – bahawa seluruh orang Islam dalam tempoh seratus tahun terakhir ini mati dalam keadaan mati jahiliyyah. Ini berlaku sejak saat dunia Islam kehilangan khalifah. Apatah lagi, khilafah Islamiyyah tertinggi yang mengurus keperluan seluruh umat Islam telah terputus sejak sekian lama. Umat Islam yang pada masa sekarang tidak mengangkat khalifah, sesungguhnya mereka mempunyai uzur (alasan yang diterima). Yang dimaksud dengan umat Islam di sini adalah rakyat, kerana terbukti rakyat tidak memiliki kemampuan untuk mendirikan khilafah dan mengangkat seorang khalifah. Lantas berdosakah mereka jika memang tidak mampu!?. Bukankah Allah taala berfirman:
لاَيُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
Maknanya: “Allah ta’ala tidak membebankan terhadap satu jiwa, kecuali apa yang ia sanggup melakukannya”. (Surah al Baqarah: 286)
2. Berakidah Dengan Aqidah Muktazilah Atau Qadariyyah
Lebih sesat lagi, Hizbut Tahrir menyatakan bahawa seorang hamba adalah pencipta perlakuan ikhtiyari (perbuatan yang dilakukan atas dasar kemahuannya). Menurut mereka bahawa perkara yang diciptakan oleh Allah hanya perlakuan manusia yang bersifat idtirari (perbuatan yang di luar inisiatifnya seperti degupan jantung, takut, menggigil kerana kedinginan dan lain-lain)[2]. Dengan pernyataannya ini, Hizbut Tahrir telah menyalahi firman Allah taala:
اللهُ خَالِقُ كُلِّ شَىْءٍ
Maknanya: “Allah adalah Pencipta segala sesuatu”. (Surah al-Zumar: 62)Segala sesuatu (shay’) dalam ayat ini mencakupi diri makhluk dan segala perbuatannya. Selain itu, mereka juga menyalahi firman Allah: 

هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللهِ
Maknanya: “Adakah pencipta selain Allah?” (Surah Fatir: 3)Ertinya tidak ada Pencipta atau yang mengadakan sesuatu dari tidak ada menjadi ada kecuali Allah. Seterusnya, mereka juga menyalahi firman Allah: 

قُلْ إِنَّ صَلاَتِى وَنُسُكِى وَمحْيَاىَ وَمَمَاتِى للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ
Maknanya: “Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya solatku dan nusukku (sembelihan yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti al-Hady dan korban ‘Id al-Adha), hidupku dan matiku adalah milik Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya” (Surah Al-An^am: 162-163)Ayat di atas jelas menyatakan bahawa solat dan amalan ibadat korban yang merupakan perbuatan ikhtiyari, serta kehidupan dan kematian yang bukan perbuatan ikhtiyari kesemuanya adalah ciptaan Allah, tidak ada yang menyekutui-Nya dalam hal ini. Sesungguhnya hanyalah Allah yang menciptakan kesemuanya itu; yang mengadakannya daripada tidak ada kepada ada. 

Ayat-ayat tersebut semuanya menunjukkan bahwa segala apa yang ada di dunia ini adalah ciptaan Allah. Segala benda (zat-zat) dan sifat-sifatnya seperti bergerak, diam, warna, fikiran, rasa sakit, rasa nikmat, mengerti, lemah dan lain-lain, semuanya tidak lain adalah ciptaan Allah. Manusia hanyalah berbuat (yaf^al –Kasb-), tidak menciptakan (la yakhluq) perbuatannya sendiri. Ini adalah akidah yang telah menjadi ijmak (kesepakatan) para sahabat dan majoriti umat Islam hingga kini.

Al-Imam Abu Hanifah radiyaLlahu ^anhu berkata dalam kitabnya al-Wasiyyah:

وَالْعَبْدُ مَعَ أَعْمَالِهِ وَإِقْرَارِهِ وَمَعْرِفَتِهِ مَخْلُوقٌ, فَإِذَا الْفَاعِلُ مَخْلُوقٌ فَأَفْعَالُهُ أَوْلَى أَنْ تَكُونَ مَخْلُوقَةً
Maknanya: “Dan si hamba itu bersama-sama segala perbuatannya, pengakuannya dan pengetahuannya adalah makhluk ciptaan Allah. Oleh itu, apabila si pelaku itu suatu makhluk maka perlakuannya lebih utama sebagai makhluk ciptaan Allah”.Inilah yang diyakini oleh majoriti umat Islam, baik mereka para ulamak Salaf (mereka yang hidup pada 300 tahun pertama hijriyyah; iaitu zaman sahabat Nabi, tabi’in dan tabi’it tabi’in) mahupun ulama Khalaf (pasca zaman salaf hingga kini). Pendapat yang menyalahi akidah ini bererti telah menyalahi al-Quran dan hadis Nabi. Dalam sebuah hadis riwayat Ibn Hibban diriwayatkan bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallambersabda: 

إِنَّ اللهَ صَانِعُ كُلِّ صَانِعٍ وَصُنْعَتِهِ
Maknanya: “Sesungguhnya Allah pencipta setiap pembuat dan perbuatannya”.Hadis di atas jelas menyatakan bahawa manusia sama sekali tidak menciptakan perbuatannya. 

3. Beberapa Pegangan Sesat Yang Lain
Selain itu, ada lagi beberapa pegangan mereka yang menyeleweng dari pegangan Ahlis Sunnah wal Jama^ah. Antaranya:
1) Mereka mengatakan bahawa sifat ^ismah atau maksum para nabi dan rasul itu hanya berlaku selepas mereka menjadi nabi atau rasul, manakala sebelum kenabian atau kerasulan maka sesuatu dosa yang boleh terjadi ke atas manusia biasa lain boleh berlaku ke atas mereka kerana sifat maksum itu adalah kerana kenabian dan kerasulan[3].
2) Mereka juga mengatakan bahawa perjalanan dengan tujuan zina tidak haram kerana yang haram hanya perbuatan zina[4].
3) Mereka juga membolehkan cumbuan lelaki dengan perempuan ajnabiyyah[5].
4) Mereka juga membolehkan seseorang lelaki berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah[6].
5) Mereka juga mendakwa bahawa semua manusia boleh berijtihad terutamanya selepas mereka dapat membaca kitab-kitab yang berbahasa Arab dan yang berkaitan syariat Islam[7].Oleh itu, jauhilah Hizbut Tahrir kerana mereka mengancam akidah umat Islam! Sebarkan maklumat ini kepada orang lain! AWAS! Mereka sedang mencari pengaruh di kalangan masyarakat Islam di Malaysia terutama golongan siswazah dan profesional yang tidak kuat asas akidah Islam dan ilmu fardu ain bagi memudahkan lagi pergerakan mereka. 

[Risalah ini telah siap disusun oleh Abu Nur al-Dununiyy al-Ash^ariyy pada 28 Jumadal-Awwal 1427 H dan diedarkan di sebahagian negeri Johor bersama dengan doa: “Ya Allah! Jadikanlah risalah kecil ini sebagai RIBUT PETIR yang melanda HIZBUT TAHRIR!”.]
________________________________
[1] Sila rujuk penulisan-penulisan mereka seperti berikut: (1) Al-Shakhsiyyah al-Islamiyyah, juzuk 2, bahagian 3, hlm. 13, 15 dan 29. (2) Al-Khilafah, hlm. 3, 4 dan 9. (3) Al-Dawlah al-Islamiyyah, hlm. 179. (4) Mudhakkirah Hizb al-Tahrir ila al-Muslimin fi Lubnan, hlm. 4.
[2] Sila rujuk penulisan-penulisan mereka seperti berikut: (1) Al-Shakhsiyyah al-Islamiyyah, juzuk 1, bahagian 1, hlm. 71, 72 dan 74. (2) Nizam al-Hukm fi al-Islam, hlm. 22.
[3] Sila rujuk penulisan pengasas dan ketua Hizbut Tahrir iaitu Taqiyyuddin al-Nabhanial-Shakhsiyyah al-Islamiyyah, juzuk 1, bahagian 1, hlm. 120.
[4] Perkara ini telah ditulis dan disebarkan dalam kertas edaran mereka di Tripoli, Syam pada tahun 1969 dan masih disebut sehingga sekarang oleh penduduk Tripoli dan mendapat tentangan daripada kebanyakan penduduk.
[5] Sila rujuk edaran soal jawab terbitan Hizbut Tahrir pada 24 Rabi^ul-Awwal 1390, dan edaran soal jawab terbitan Hizbut Tahrir pada 21 Jamadil-Awwal 1400/ 7 April 1980.
[6] Sila rujuk edaran soal jawab terbitan Hizbut Tahrir pada 8 Muharram 1390, dan buku mereka al-Khilafah, hlm. 22 – 23, serta buku ketua mereka al-Shakhsiyyah al-Islamiyyah, juzuk 2, bahagian 3, hlm. 22 – 23, dan juzuk 3, hlm. 107 – 108.
[7] Sila rujuk kitab mereka al-Tafkir, hlm. 149.
SUMBER:

Posted on October 31, 2012, in MENOLAK HIZBUT TAHRIR. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: