ISU-ISU MAZHAB BAGAIMANA SEPATUTNYA SIKAP KITA?

Persoalan bermazhab atau bertaqlid kepada mazhab tertentu adalah antara isu yang menjadi bahan perdebatan di kalangan umat Islam. Isu ini dilihat tidak sampai ke penghujung kerana sentiasa ada pemain baru yang mempolimikkannya.

 

Isu sebegini jika tidak ditangani dengan sebaiknya akan menatijahkan suatu keadaan yang tidak baik dalam masyarakat Islam terutama di Malaysia.Dr. Luqman bin Hj. Abdullah, pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya mengupas isu ini untuk tatapan bersama.

 

 

Bagaimana Berlakunya Sistem Pengamalan Mazhab Di Malaysia?

 

Satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan umat Islam di Malaysia secara umumnya adalah bermazhab Syafi’i. kenyataan ini bukanlah bermaksud untuk menafikan kewujudan amalan-amalan mazhab selain Syafi’I di peringkat individu dan institusi, tetapi ia merujuk kepada fakta sejarah perkembangan Islam di Malaysia dan dominasi Mazhab Syafi’I dalam banyak aspek kehidupan beragama di kalangan umat Islam Malaysia.

 

Walaupun mungkin kebanyakan masyarakat mengamalkan Mazhab Syafi’i dalam kehidupan seharian secara warisan sahaja tanpa sebarang ikatan dengan maklumat ilmiah terhadap mazhab yang dianuti, ia sebenarnya adalah sebahagian daripada proses pengukuhan Mazhab Syafi’i dalam masyrakat Islam di Malaysia.

 

 

Apa Bukti Malaysia Menggunapakai Mazhab Syafi’i?

 

Kenyataan bahawa Malaysia bermazhab Syafi’i boleh dipertahankan atas alasan ia telah diinstitusikan dalam bentuk rasmi melalui fatwa-fatwa yang dikeluarkan, dan enakmen pentadbiran agama negeri-negeri yang menggunapakai Mazhab Syafi’I secara meluas dengan sedikit pengecualian kepada negeri Perlis.

 

Kedudukan yang rasmi ini sudah cukup untuk membuktikan kenyataan di atas. Penerimaan secara rasmi oleh sesebuah kerajaan terhadap sesuatu aliran sudah tentu memberi kesan secara langsung dari segi pengamalannya di peringkat rakyat.

 

Di peringkat masyarakat, kitab-kitab Mazhab Syafi’i menjadi teks utama untuk kuliah-kuliah pengajian sama ada peringkat rendah atau tinggi, sama ada bahasa Jawi atau bahasa Arab. Kurikulum pendidikan kebangsaan juga menggunakan sukatan fikah Mazhab Syafi’i bermula daripada tadika, KAFA dan menengah.

 

Kedudukan Mazhab Syafi’i di Malaysia diperkukuhkan lagi melalui peruntukan undang-undang melalui enakmen negeri-negeri. Mengambil kira sejarah perkembangan Mazhab Syafi’i di Malaysia, pihak berkuasa negeri telah mengambil langkah dengan lebih jelas iaitu menerima pakai Mazhab Syafi’i dalam fatwa-fatwa negeri.

 

 

Sebagai contoh Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan dalam Seksyen 39 :

 

1. Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah Seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafi’i.

 

2. Jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafi’i akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali.

 

3. Jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu.

 

Jelas daripada peruntukan di atas, keutamaan Mazhab Syafi’i dalam fatwa berbanding mazhab lain. Satu-satunya perkara yang diambil kira untuk menerima pakai mazhab selain Syafi’i adalah kepentingan awam.

 

 

Mengapa Diwujudkan Peraturan Sebegini?

 

Ini adalah satu bentuk siasah syariyyah daripada pihak pemerintah demi untuk menjaga kemaslahatan dan keharmonian hidup beragama di negara kita yang telah sebati dengan Mazhab Syafi’i. pada masa yang sama ia memberi ruang kepada mazhab lain dalam fatwa jika ada kepentingan awam.

 

Kaedah penyeragaman ini sangat perlu diambil perhatian oleh semua pihak, agar keharmonian hidup bermasyarakat Islam tidak tergugat dengan pendapat-pendapat yang lain daripada Mazhab Syafi’i, yang tidak perlu diketengahkan untuk masyarakat awam.

 

Dalam perkembangan yang sama, Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan telah memutuskan beberapa ketetapan seperti berikut :

 

1. Semua fatwa yang diputuskan mestilah berdasarkan kepada qaul yang muktamad dalam Mazhab Syafi’i. jika hendak beramal dengan qaul daripada mazhab lain maka perlu mendapat restu daripada Yang Di Pertuan Agong.

 

2. Umat Islam tidak dipaksa beramal dengan Mazhab Syafi’i bahkan boleh beramal dengan mana-mana mazhab lain yang disukai dengan syarat mereka tidak boleh menyalahkan orang-orang yang beramal dengan Mazhab Syafi’i.

 

3. Mazhab-mazhab lain tidak boleh diajar atau disyarah secara terbuka di khalayak ramai namun boleh diajar di masjlis-majlis pengajian.

 

4. Menjadi satu kesalahan jika mengajar mazhab lain selain daripada Mazhab Syafi’i secara terbuka.

 

5. Jika fatwa telah dikeluarkan berasaskan kepada Mazhab Syafi’i, maka tiada sesiapa pun boleh membantahnya dengan menggunakan hujah daripada mazhab yang lain.

 

Selain daripada itu, Jakim telah menerima pakai cadangan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam agar penyebaran fahaman-fahaman selain Mazhab Syafi’i hendaklah dikawal, bagi tujuan membendung fahaman yang boleh mengelirukan masyarakat yang tidak terdedah dengan perbezaan mazhab-mazhab. Cadangan ini telah diperkenalkan oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja ke 133 (khas) pada 3 Disember 1984.

 

Apa yang jelas daripada peraturan ini adalah untuk menjaga orang awam daripada terdedah kepada kekeliruan aliran mazhab yang berbagai. Dengan kedudukan Mazhab Syafi’i yang telah sebati dengan kehidupan mereka, tentunya akan timbul kekeliruan jika mazhab lain turut didedahkan kepada awam.

 

Pegangan kepada Mazhab Syafi’i di Malaysia adalah sebenarnya selari dengan konsep bermazhab yang telah dikemukakan di atas. Tidak ada cacat celanya kepada kedudukan yang telah ada. Oleh itu, kita memandang serius jika ada pihak yang cuba bertindak di luar daripada kerangka bermazhab yang diamalkan di negara kita.

 

Ini bukan bererti menyekat daya intelek masyarakat ilmuan di tanah air, tetapi demi kelangsungan keamanan kehidupan beragama masyarakat Islam di sebelah sini. Pengamalan di tempat-tempat atau di negara lain sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak. Adalah penting untuk mengekalkan pengajaran Mazhab Syafi’i di peringkat orang awam dan juga pelajar sehingga tahap menengah agar wujud keseragaman dalam hal-hal keagamaan dalam masyarakat.

 

 

Apa Pendekatan Terbaik Menangani Isu Khlafiyyah?

 

Dalam menangani isu-isu khilafiyyah, adalah penting kita mengambil pendekatan yang dihuraikan oleh Syeikh Ramadan al-Buti iaitu dengan menerima kenyataan bahawa ia adalah khilafiyyah dan tidak boleh untuk kita memaksa orang lain atau melabelkan dengan bidaah, sesat dan sebagainya.

 

Kita mengambil serius dengan perkembangan pihak yang suka melabelkan bidaah kepada pihak lain kerana kesannya di peringkat pengikut bawahan sangat sukar ditangani. Kita sepatutnya mengambil kaedah :

 

“Tidak ditolak perselisihan pada perkara khilaf, apa yang ditolak adalah perselisihan pada perkara yang telah disepakati.”

 

Jika sikap ini yang diambil, banyak masalah yang boleh diselesaikan dalam masyarakat. Kita tidak memeningkan masyarakat awam yang mudah keliru dengan perselisihan pandangan para ahli agama.

 

Kita juga memandang serius sikap ala-wahabi di negara kita yang melebelkan perkara khilafiyyah sebagai bidaah dan sesat dengan cara yang fanatik dan extreme, yang sekarang ini telah banyak meresap dan mempengaruhi anak-anak muda hasil daripada ketidakbijakan para ahli agama dalam menangani isu-isu begini.

 

Garis panduan yang diberikan oleh al-Buti adalah sebaik-baik panduan yang perlu diambil berat oleh setiap ahli agama. Kita boleh tidak bersetuju dengan beliau tetappi bagi penulis agak sukar untuk menolak pandangan beliau dalam hal-hal khilafiyyah ini.

 

Pandangan beliau adalah selari dengan pandangan majoriti ulama besar dunia kini yang membentuk arus utama dalam dunia Islam. Pandangan-pandangan lain sebagaimana yang dibawa oleh golongan wahabiyyah adalah tidak dapat menyelesaikan masalah dalam hal-hal khilafiyyah ini.

 

Dalam dunia sekarang, kita lebih memerlukan pandangan yang harmoni dan bermanhaj dengan manhaj utama umat Islam, bukannya manhaj serpihan yang hanya dipelopori oleh pihak yang mewakili golongan serpihan dalam dunia Islam.

 

 

Apa Kesimpulan Daripda Perbincangan Ini?

 

Isu bermazhab dan persoalan khilafiyyah adalah antara sekian banyak isu yang melingkari umat Islam kini. Daripada satu aspek, ia adalah sangat remeh tetapi dari aspek yang lain ia semakin menjadi isu besar apabila ada pihak cuba melihat perkara ini dalam bentuk yang bersifat prinsip.

 

Ada pihak yang melihat bermazhab sebagai satu perkara yang tidak perlu dan memberi laungan kembali kepada al-Quran dan hadis sahaja dengan meninggalkan segala khazanah fikah dan usulnya. Lebih parah lagi apabila hal ini dibawa dalam bentuk satu gerakan khusus dan bukan lagi satu perkara sampingan.

 

Isu ini dikembarkan pula dengan masalah membidaahkan umat Islam atas perlakuan yang melibatkan perkara khilafiyyah. Demi kepentingan keamanan umat Islam, sudah sampai masanya untuk para ilmuwan melihat perkara ini secara serius dan bertindak serta kembali kepada kerangka yang telah dihuraikan.

 

(Sumber : Majalah Q&A, ISU 11, m/s 109-111)

_____________________________________

 

“Bermazhab bukan bereti menyekat daya intelek masyarakat ilmuan tetapi demi kelangsungan keamanan kehidupan beragama masyarakat Islam Malaysia.”

 

Posted on May 10, 2013, in AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ). Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: