Monthly Archives: October 2013

Penjelasan bahaya ancaman Syiah perlu diperhebat

 

SEBANYAK 52 masjid seluruh Negeri Sembilan telah membacakan khutbah khas pada Jumaat lalu yang bertajuk ‘Percanggahan Fahaman Syiah Imamiah dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah’ sebagai peringatan dan pencerahan berhubung bahaya ancaman Syiah, khususnya di negeri ini.

Khutbah berkenaan disusun bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan tenaga pakar dari Kolej Islam As Sofa serta mendapat kerjasama daripada Pejabat Mufti Kerajaan negeri yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Akidah MAINS, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki As Sanusi.

Mereka yang menyampaikan khutbah itu terdiri daripada imam MAINS, ustaz dan pensyarah Kumpulan Pendidikan Sofa (SEG), Rabitah Ulama Sofa dan wakil Pejabat Mufti Kerajaan negeri.

Dalam khutbah yang disampaikan itu, antara peringatan ialah bahayanya penularan fahaman Syiah dan jika tidak dibendung, akan menghancurkan kesatuan umat Islam, malah lebih teruk bakal menggugat kesucian akidah umat Islam melalui pelbagai virus pemesongan dan penyelewengan yang sarat terkandung dalam fahaman ini.

Teks khutbah berkenaan antaranya menyebut ajaran Syiah Imamiah ini bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka kerajaan Negeri Sembilan telah mewartakan fatwa yang bertarikh 27 Februari 1998, yang menyatakan bahawa umat Islam di negeri ini hendaklah mengikut undang-undang Islam dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan dengan demikian, penyebaran apa-apa ajaran lain, selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang, menurut teks khutbah berkenaan.

Antara yang didedahkan dalam teks khutbah khas itu ialah sebahagian doktrin Syiah Imamiah yang menyalahi prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Di antaranya mereka mendakwa:

* Ilmu Allah SWT berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia.

* Al-Quran yang berada di tangan Ahli Sunnah Wal Jamaah pada hari ini tidak sempurna kecuali yang ada di sisi Sayyidina Ali.

* Para Imam Dua Belas adalah maksum.

* Para Imam Dua Belas lebih tinggi darjatnya daripada para Nabi dan Rasul.

* Menuduh Abu Bakar dan Umar sebagai dua berhala Quraisy serta pengikut-pengikut mereka adalah kafir.

* Mendakwa semua sahabat telah menjadi murtad selepas kewafatan Nabi kecuali empat orang, iaitu al Miqdad ibn al Aswad, Abu Zar al Ghifari, Salman al Farisi dan Ammar ibn Yaseer.

* Menganggap Ahli Sunnah adalah kafir dan najis.

* Menghalalkan darah dan harta Ahli Sunnah.

* Mendakwa tidak sempurna iman orang yang tidak mengamalkan nikah mutaah.

* Menjadikan taqiyyah (penipuan dan kepura-puraan) adalah sebahagian daripada agama.

Maka dalam seruan yang dibuat oleh mimbar di 52 masjid ini perlu mendapat perhatian seluruh umat Islam di negeri ini agar mengambil langkah perlu bagi mengekang penularan fahaman yang amat berbahaya ini, sekali gus mengelak diri daripada terjebak ke dalamnya.

Antara yang digariskan itu ialah:

* Semua peringkat umat Islam perlu ditanam dengan ilmu akidah yang sahih dan komprehensif berlandaskan prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah semenjak dari awal lagi dan perlu dikukuhkan dari semasa ke semasa.

* Mengukuhkan kefahaman terhadap al Quran dan hadis melalui guru-guru yang bertauliah dan diakui kesahihan ilmunya dan bukan dengan pembacaan dan kajian semata-mata.

* Mengenal pasti ajaran yang terpesong dalam aliran Syiah Imamiah bagi mengelak daripada terjebak ke dalamnya.

* Meningkatkan kewaspadaan terhadap propaganda atau eksploitasi yang dilakukan oleh golongan Syiah Imamiah yang berselindung di sebalik sentimen kasih dan cintakan Ahli Bait (ahli keluarga Rasulullah SAW), memperjuangkan hak Ahli Bait dan menentang kezaliman yang dilakukan terhadap Ahli Bait.

Justeru, adalah wajar langkah penerangan dan pencerahan ini dapat diteruskan dalam kalangan umat Islam di negeri ini dan diperhebatkan kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah mengambil keputusan untuk melarang fahaman Syiah Imamiah ini daripada menular di negeri ini.

Hal itu telah pun dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi MAINS dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan lalu.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira apa juga ajaran atau fahaman Islam yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, adalah dilarang, apatah lagi fahaman Syiah ini.

“Kita telah pun mewartakan larangan ini, iaitu pengikutnya yang menyebarkan fahaman itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1992 di mahkamah, jika terus melanggar perintah larangan ini,” katanya.

Maka hendaklah umat Islam faham bahawa fahaman Syiah Imamiah merupakan suatu ajaran yang jauh tersasar daripada landasan Islam yang sahih, malah ajaran ini mampu merosakkan akidah umat Islam dan menjerumuskan mereka ke lembah kekufuran dan syirik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20131027/ws_02/Penjelasan-bahaya-ancaman-Syiah-perlu-#ixzz2jDRACRt3 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ya Hanana-(acapella version)

Qaseedah Qod Kafani

Qasidah Ya Thayba Darul Quran Wal Hadith dan Ya Badraatim

Qasidah al-Jalaliyah

HIMPUNAN KEBANGKITAN ULAMA DAN RAKYAT ” Pendirian Ulama’ Terhadap Ancaman Syiah “

Pelajar Pondok ASWJ kritik Dr Asri Dengan Nas Kitab

Kisah Rasulullah bercakap dengan biawak

Syarah Bakurotul Amani – TG Ridhiauddin & Ustaz Azahar Hashim

KLIK DISINI