Tuduhan mengaitkan institusi pondok di negara ini dengan usaha mengembangkan fahaman pelampau serta melahirkan pengganas adalah tidak benar

KUALA TERENGGANU 24 Mei – Tuduhan mengaitkan institusi pondok di negara ini dengan usaha mengembangkan fahaman pelampau serta melahirkan pengganas adalah tidak benar malah merekalah sebenarnya yang menjadi antara benteng mencegah penularan fahaman tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, daripada sejumlah tangkapan yang dibuat selama ini, hanya segelintir sahaja melibatkan pelajar pondok.

“Kita tidak boleh membuat kesimpulan mengatakan warga pondok cenderung untuk terlibat dalam keganasan. Sebenarnya ulama pondoklah yang menjadi benteng mencegah penyebaran fahaman yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas.

“Sebagai contoh, ketika dua pemimpin Jemaah Islamiah (JI), Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir menyusup masuk pada April 1985 dan mengembangkan JI di Negeri Sembilan dan Johor, ulama pondoklah yang mula menyedari dan menentang fahaman ‘Salafi Jihadi’ yang dibawa oleh mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Isu Semasa Ijtimak Ulama Pondok Malaysia Ke-2 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Turut menjadi panel ialah Prof. Madya Dr. Shukri Ahmad dari Universiti Utara Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Pengajian Agama Yayasan Islam Terengganu, Muhammad Ramli Nuh manakala Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Juhaidi Yean Abdullah selaku moderator.

Menurut Ayob Khan, sejarah memperlihatkan ulama-ulama pondok silam seperti Sheikh Abdullah Fahim, Ahmad Tuan Hussein, Sheikh Harun Muhamad Al Samadi Al Kalantani jugalah yang menentang penyebaran fahaman pelampau seperti Syiah dan golongan yang suka membidaahkan amalan umat Islam di rantau ini.

“Berdasarkan statistik tangkapan pihak polis sejak tahun 2000, kebanyakan mereka yang menganggotai kumpulan Al-Qaeda, Jemaah Islamiah, Darul Islam dan yang terbaru IS, terdiri daripada lepasan institusi pengajian tinggi awam dan juga kalangan pensyarah.

“Pondok melahirkan banyak tokoh agama dan pemimpin dalam pelbagai bidang. Contohnya seperti ulama di Perak iaitu Tok Guru Haji Ghazali di Bagan Datoh. Pondok ini berjaya melahirkan mufti, pegawai-pegawai tinggi agama, malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah belajar di pondok tersebut,” katanya.

Menurut Ayob Khan, sekolah pondok mengajar ilmu akidah, tauhid, fikah dan lain-lain yang selari dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kitab-kitab yang digunakan pula menekankan ilmu ulama-ulama muktabar yang merangkumi empat ciri penting iaitu al-Quran, sunnah, ijma’ serta qias dan ulama pondok pula berpegang teguh pada manhaj al-Asha’irah dan al-Maturidiyah, jelasnya.

“Dua aliran inilah yang dilabelkan oleh IS sebagai sesat, syirik dan pengikutnya boleh dibunuh. Fakta berkenaan tercatat di dalam majalah Dabiq edisi ke-14 yang diterbitkan secara dalam talian oleh IS.

“Kerajaan wajar memantapkan institusi pondok sebagai benteng bagi memerangi ideologi ekstrem seperti Syiah dan golongan yang mendakwa sebagai Salafi Jihadi seperti IS. Para ulama dan pelajarnya perlu turut diberi peluang dalam media arus perdana sebagai usaha membanteras fahaman pelampau ini,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Posted on June 30, 2016, in AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH (ASWJ). Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: