Category Archives: MEMPERTAHANKAN AGAMA ISLAM

Malaysia Bukan Negara Sekular

Malaysia BUKAN Negara Sekular
27 April, 2014 in Federal Constitiution, Islam
imej-perlembagaanpersekutuan

Apa hujjahnya? Antaranya ialah:

1. Dari segi definisi istilah sekular itu sendiri.

Sekular itu memisahkan agama dari kerajaan dan pentadbirannya. Termasuk tidak boleh kerajaan membelanjakan apa-apa dana untuk mana-mana aktiviti atau institusi agama. Jelas kita lihat adanya institusi-institusi agama dalam kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri dengan jutaan wang ringgit yang dibelanjakan.

2. Tiada Ungkapan Sekular Di Dalam Perlembagaan Persekutuan

Walaupun dalam cadangan asal Suruhanjaya Reid ada menyebutkan bahawa “penegasan Islam sebagai Agama Negara tidak menafikan ciri-ciri sekular negara ini”, namun Raja-Raja Melayu tidak menerima ungkapan sedemikian untuk dimasukkan dalam Perlembagaan.

Tidak ada ungkapan “secular” di mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan. Hanya prinsip yang termaktub dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan sahaja yang dipersetujui untuk dijadikan sebahagian dari undang-undang tertinggi Negara.

3. Tiada Keputusan Mahkamah Mengatakan Malaysia Negara Sekular.

Kerap kali orang-orang seperti Karpal Singh mengguna keputusan Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh. Sebenarnya penghakiman tersebut tidak menyebut bahawa Malaysia sebuah Negara sekular tetapi hanya memutuskan bahawa undang-undang yang masih terpakai adalah undang-undang sekular.

4. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan Menyanggahi Prinsip Asas Sekularisme

Malah Perkara 3 (1) ini telah JELAS menetapkan bahawa negara kita adalah sebuah Negara Islam.

5. Sumpah Yang DiPertua Agung

Di dalam sumpah YDPA atas nama suci Allah untuk memelihara agama Islam pada semua masa itu adalah merupakan hujjah yang kuat menolak sekular ini.

Dengan senarai ringkas di atas, sebagai umat Islam di Tanah Air ini, kita WAJIB bersyukur dengan asas-asas yang telah dibina oleh pemimpin-pemimpin awal kita dan terutamanya Majlis Raja-raja Melayu yang telah banyak bertegas dalam membentuk persetujuan ini.

Oleh yang demikian kita patut sama-sama menghayati amanat Al-Marhum Professor Tan Sri Ahmad Ibrahim:

… Sayangnya masih terdapat banyak undang-undang di Malaysia, yang bercanggah dengan undang-undang Islam, yang diluluskan dari zaman penjajah, akan tetapi usaha boleh diambil untuk meminda undang-undang itu supaya dia selaras atau tidak bertentangan dengan undang-undangIslam …

… Jika orang lslam ingin Perlembagaan itu dijadikan lebih dekat dengan Islam, mereka harus mengikhtiar supaya mereka mempunyai kuasa memindanya … iaitu dengan mendaftar diri sebagai pemilih dan memilih wakil-wakil rakyat yang boleh ada majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya pindaan itu dapat diterima.

Inilah perlunya kita sepakat supaya kita boleh mencapaikan hasrat bangsa, agama dan negara kita.

Dengan itu – ayuh bersatulah kita umat Islam mengikut dasar “ruhama’ bainahum” sesama mukminin.

SUMBER

5 Ancaman Besar Umat Islam di Malaysia Masa Kini

Segala puji bagi Allah SWT, Selawat dan Salam diutuskan buat kekasih Allah dan kekasih kami, Saidina Muhammad SAW, dan ahli keluarga serta para sahabat Baginda RA:

Lima ancaman besar yang sedang menyerang umat Islam di Malaysia masa kini:

  1. Gerakan Salafi Wahhabi , Irhabi Jihadi
  2. Syiah
  3. Pluralism
  4. Komunis Moden (Kaum Chauvinist)
  5. Missionaries Kristian

Semoga Allah SWT terus memelihara kita daripada dikuasai oleh musuh-musuh kita! Amin.

SUMBER:

Tiada Perkataan Sekular Dalam Perlembagaan

Memartabatkan Islam Sebagai Agama Negara: Ismail Mina

Ancaman Terhadap Kedudukan Islam Agama Negara – Naser Disa

Senarai Logo Halal Yang Diiktiraf JAKIM 2012

KLIK DISINI !!!

Sultan amat tersinggung

SHAH ALAM 10 OKT. – SIASATAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS) KE ATAS MAJLIS THANKSGIVING DINNER YANG DIADAKAN DI DEWAN 3, KOMPLEKS DREAM CENTRE DI SEKSYEN 13, PETALING JAYA PADA 3 OGOS LALU MENDAPATI BERLAKU CUBAAN UNTUK MEMESONGKAN KEPERCAYAAN DAN AKIDAH UMAT ISLAM

Sehubungan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri ini.

Berikutan adalah kenyataan penuh Sultan Sharafuddin Idris Shah:-

Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan, Jabatan Agama Islam, Selangor (JAIS) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis ‘Thanksgiving Dinner’ yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 yang lalu.

Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS.

Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Islam dalam Negeri ini, JAIS mempunyai tugas yang berat untuk memastikan Agama Islam dalam Negeri Selangor ini sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukan Agama Islam sebagai agama Negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta laporan penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan juga tindakan susulan yang telah diambil oleh JAIS. Beta sendiri telah meneliti laporan tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor ini.

Tindakan JAIS tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.

Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah agama yang penuh toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain.

Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni.

Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud sekian lama terus dikekalkan.

Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.

Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam.

Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.

Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun Beta menitahkan JAIS memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan.

Beta juga menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.

Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.

Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini.

Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada JAIS.

 

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

 

SUMBER:

http://himpun.org/sultan-amat-tersinggung

PANAS – Evangelist Paling Aktif Gerakan Kristianisasi di Malaysia!

SHAH ALAM – Kumpulan Evangelist yang merupakan salah satu cabang ajaran agama Kristian didakwa sebagai golongan yang paling aktif melakukan aktiviti memurtadkan umat Islam dan gerakan kristianisasi di negara ini berbanding dengan kumpulan yang lain.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, antara kumpulan masyarakat Islam yang dijadikan sasaran untuk dikristiankan ialah golongan miskin dan berpendapatan rendah, anak-anak muda yang gemar berpeleseran dan terbiar, serta pesakit-pesakit yang sedang nazak di hospital.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa mereka juga mensasarkan gerakan kristianisasi itu terhadap golongan intelek yang bersifat liberal dan menyokong fahaman pluralisme agama, serta orang ramai di pusat membeli-belah dan kawasan kediaman dengan mengedarkan risalah ajaran mereka.

Menurutnya, difahamkan kumpulan tersebut sangat aktif dengan gerakan kristianisasi di seluruh dunia dan bukan hanya bertumpu di Malaysia sahaja.

“Melalui bacaan dan laporan yang saya peroleh, kumpulan Evangelist paling aktif memurtadkan umat Islam, mereka punya pakar-pakar di dalam dan di luar negara.

“Kumpulan lain pun buat juga, tapi taklah aktif sangat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Menangani Cabaran Kristianisasi Di Malaysia anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini.

Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur Dan Kemudahan Awam Selangor.

Beliau turut menceritakan tentang seorang ibu tunggal memiliki tiga orang anak yang pernah dibaptiskan pernah bertemu dengannya dan menyatakan mereka menerima pelbagai bantuan lumayan dari gereja namun tidak sampai hati untuk meninggalkan Islam.

Menurutnya, ibu tunggal tiga beranak itu menerima keperluan dapur yang lengkap secara bulanan, sewa rumah RM1,700 sebulan, manakala segala keperluan anak-anaknya ditaja penuh oleh pihak gereja.

Selain itu, keluarga berkenaan juga diberikan sebuah kereta dan yang paling ‘isitimewa’ ialah keluarga itu akan dihubungi untuk bertanya khabar pada jam 7.00 pagi hingga 7.30 pagi pada setiap hari.

“How are you today, are you okay today, can we meet you today, have money or not for today, got any problem this morning..itu yang ditanya kepada keluarga itu setiap hari,” tambahnya lagi.

Gerakan Kristianisasi dianggap sebagai satu cabaran buat umat Islam di negara ini setelah terbongkar dengan beberapa kes seperti isu JAIS-GMDU, majlis pertemuan pastor-pastor di Pulau Pinang dan kes-kes murtad yang mencetus kontroversi seperti Lina Joy.

Merujuk kepada isu serbuan JAIS-GMDU, beliau turut menegaskan tidak akan sekali-kali meminta maaf kepada gerakan kristianisasi memandangkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan medianya baru-baru ini mengesahkan tentang bukti gerakan tersebut yang ternyata mencabar Islam di negara ini.

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN / Foto: YUMNI HARUN

SUMBER:

http://mynewshub.my

10 Resolusi HIMPUN

1. Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di Negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

2. Kerajaan yang memerintah baik diperingkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dari perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara yang dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

3. Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

4. Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam perlembagaan persekutuan.

5. Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada aqidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

6. Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

7. Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk menganggu-gugat kesucian Islam.

8. Menyeru semua institusi dalam masyarakyat terutamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan akidah.

9. Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

10. Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbedaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama bersatu menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

SUMBER:

http://hanputra.blogspot.com

MENJAWAB ISU KALIMAH ALLAH DIGUNA OLEH ORANG KRISTIAN – DR HARON DIN

KLIK DISINI !!!