Category Archives: MENOLAK KHAWARIJ

Mengenali golongan dan parti berideologi Khawarij

Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji
Ketua Biro Sekretariat iLMU
Ilmuanmalaysia.com
Ilmu-islam.com

BARANGKALI sudah tiba masanya masyarakat Islam di dalam negara ini mengenali golongan yang suka memusuhi sesama Islam. Sekiranya kita membedah atau menyelak kitab-kitab agama pasti kita akan bertemu dengan istilah-istilah yang jarang kita dengar tetapi ia sebenarnya amat penting untuk diketahui.

Terdapat banyak musuh Islam yang ingin mengambil kesempatan merosakkan Islam. Tidak hairanlah sekiranya yang memusuhi Islam dan kerajaan Islam itu adalah dalam kalangan orang bukan Islam, tetapi yang lebih bahaya daripada itu adalah musuh dalam selimut iaitu musuh yang terdiri daripada orang Islam sendiri.

Di antara istilah golongan pelampau dalam agama, Islam menamakan mereka ini dengan Khawarij. Siapakah golongan Khawarij ini? apakah kita sudah mengenali mereka? apakah ciri-ciri golongan Khawarij ini?

Apakah kita kurang didedahkan dengan golongan ini kerana kurangnya membaca kitab-kitab agama berhubung dengan Khawarij, atau kebanyakan daripada guru agama yang mengajarkan agama tidak menceritakan akan bahayanya fitnah Khawarij ini. Sebagai seorang Muslim, kita wajib mengetahui perihal Khawarij agar kita tidak terjerumus dalam fitnah Khawarij.

Sejarah awal kemunculan

Permulaan kesesatan golongan Khawarij adalah kesalahan mereka dalam penentuan keimanan seseorang. Mereka berkeyakinan bahawa iman yang sempurna adalah pelaksanaan seluruh ketaatan, jika melakukan dosa besar atau perkara yang diharamkan dianggap tidak memiliki iman sama sekali dan pelakunya akan kekal di dalam neraka.

Kesesatan golongan Khawarij ini dalam masalah iman dan akidah ia telah merebak dan memberi kesan terhadap perkara-perkara berkaitan hal agama lain, termasuklah juga pemahaman mereka terhadap kepimpinan dan pemerintahan. Kalau diteliti sejarah Islam, kemunculan pertama golongan berfahaman Khawarij ini dalam pemerintahan Islam bermula sejak masa pemerintahan Saidina Uthman R.A bahkan fahaman ini ketara menular semasa pemerintahan Saidina Ali R.A. Kesan kepada kesesatan pemahaman mereka tentang agama menyebabkan mereka mempunyai kegemaran mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan akidah dan pemahaman mereka.

Insan yang mula-mula mengkhabarkan akan kemunculan golongan Khawariji adalah Nabi SAW sendiri. Sekiranya dihimpunkan perkataan Nabi SAW tentang Khawarij pasti akan berjumpa dengan banyak peringatan Nabi SAW terhadap golongan ini. Di antara sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Akan muncul diakhir zaman sekelompok orang yang ciri mereka masih berusia muda dan tidak berilmu. Mereka rajin membaca al-Quran, namun keimanan mereka hanya pada lisan sahaja . Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah keluar dari sasarannya (binatang buruan). Perangilah mereka di mana pun kalian menemuinya! Kerana orang yang memerangi mereka akan meraih pahala besar kelak di hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kuat beragama

Maka tidak hairanlah sekiranya ada yang melihat seseorang yang nampak kuat beragama dan semangat untuk melaksanakan Islam dalam masa sama turut bersemangat mengkafirkan orang Islam lain yang tidak bersama-sama dengan mereka. Hakikat ini dikhabarkan oleh Nabi SAW seperti hadis di atas.

Ciri-ciri keislaman golongan Khawarij ini hanya kelihatan pada zahirnya sahaja dengan menonjolkan kesolehan mereka melalui solat yang didirikan, puasa yang di lakukan dan bacaan al-Quran yang tidak dapat ditandingi oleh orang lain. Bahkan tidak kurang juga penampilan mereka dari sudut berpakaian kelihatannya seperti orang agama yang banyak ilmunya seperti tajam kopiahnya, besar serbannya, labuh jubahnya dan zuhud kehidupannya.

Sekali pandang amalan agama yang dibuat oleh golongan Khawarij ini nampak mengagumkan tetapi hakikatnya mereka melakukan ibadat itu tidak berpaksikan kebenaran Islam. Segala amal soleh yang dilakukan tidak bermanfaat kerana keyakinan iman dan akidah mereka yang batil. Sabda Nabi SAW dalam hadis lain yang bermaksud: “Di antara kalian pasti menganggap rendah solatnya dibanding solat mereka, serta puasanya dibanding puasa mereka dan mereka (khawarij) itu membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkongnya (yakni tidak faham maknanya dan tidak mengamalkan kandungannya)”. (HR bukhari)

Mengapakah perkara ini boleh terjadi? Di manakah kesilapan mereka sehingga golongan Khawarij ini tiada tempatnya di dalam Islam. Banyak faktor menyebabkan golongan Khawarij menyimpang daripada dasar ajaran agama antaranya, tidak memahami intipati ajaran Islam yang sebenar. Mereka memahami Islam tidak berdiri di atas dasar ilmu dan dalil melainkan hanya mengikut hawa nafsu dengan mentakwilkan dan menafsirkan Islam mengikut acuan mereka sendiri bukan dengan kefahaman sahabat dan salafussoleh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“…Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”.(al-Qosas: 50)

Maka tidak hairanlah bila mana mereka mengkafirkan orang lain yang tidak berhukum dengan hukum Islam atau melakukan dosa besar mereka datangkan dalil daripada ayat al-quran. Maka ayat al-Quran yang digunakan oleh mereka ini ditafsirkan mengikut selera dan kehendak mereka sahaja. Sedangkan para ulama ahli sunnah wal jamaah dari dahulu sehingga hari ini amat berhati-hati menjatuhkan tuduhan kafir kepada seseorang individu muslim kerana terdapat syarat-syarat ketat dan larangan keras oleh agama untuk berbuat demikian dikhuatiri sekiranya tersalah dalam tuduhan kafir, boleh jadi tuduhan kafir itu akan kembali kepada si penuduh.

Wabak Khawarij

Jika hendak diperhatikan, wabak golongan Khawarij pada zaman sekarang ini benar-benar menjalar ke dalam fikiran masyarakat terutamanya dalam bab kepimpinan dan pemerintahan, hasil daripada dakyah beberapa orang pemuka Khawarij yang sentiasa membawa berita berbentuk hasutan dan fitnah bagi meraih pengiku.

Kebanyakan daripada masyarakat awam yang cenderung kepada semangat Islam amat mudah untuk terpengaruh dengan golongan Khawarij ini disebabkan perkataan dalam tutur kata mereka. Golongan Khawarij ini memiliki kelebihan pandai berbicara dan enak didengar. Tetapi segala perkataan mereka itu adalah omong kosong yang tidak memberi manfaat kepada pembentukan peribadi muslim. Benarlah kata Nabi SAW terhadap perkataan golongan Khawarij ini, di mana baginda mengatakan:”Mereka (Khawarij) berbicara dengan sebaik-baik ucapan mereka”. (HR Bukhari)

Ucapan-ucapan mereka ini tidak lain hanyalah ingin meraih simpati dan inginkan publisiti murahan disebabkan cita-cita mereka yang inginkan kekuasaan dalam pemerintahan. Jika diteliti, lidah mereka sentiasa berdolak-dalik dalam mengatakan sesuatu perkara. Kadang-kala perkara yang diharamkan dahulu telah menjadi halal pada hari ini. Seolah-olah ‘Matlamat menghalalkan cara’. Mereka juga menyangkakan segala perbuatan dan perkataan mereka kepada orang lain yang tidak bersama mereka adalah satu ibadah kepada Allah SWT dan mendapat pahala besar. Malangnya sangkaan mereka itu meleset, apa yang pasti perbuatan dan perkataan mereka itu satu maksiat dan mendapat dosa kering sahaja.

Oleh itu, mengenali sifat golongan Khawarij dengan lebih mendalam amat dituntut agar kita tidak terheret dan terperosok ke lembah fitnah mereka. Tiada cara untuk mengenali golongan Khawarij ini melainkan menimba ilmu dengan ulama ahli sunnah yang berautorirti melalui kaedah ‘manhaj al-talaqqi’ dan membaca kitab-kitab ulama muktabar. Semoga sedikit pengenalan tentang golongan Khawarij ini dapat membuka minda kita untuk terus istiqamah di atas jalan Islam yang benar dan tidak terpengaruh dengan dakyah golongan Khawarij atau golongan yang terkena syubhat pemikiran Khawarij ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121105/re_06/Mengenali-golongan-dan-parti-berideologi-Khawarij#ixzz2USf96d8S
© Utusan Melayu (M) Bhd

Fenomena Pemikiran Khawarij dan Cabarannya Terhadap Perpaduan Ummah

DOWNLOAD