Category Archives: MENOLAK QADIANI

Pengharaman Ajaran Qadiani – Pejabat Mufti Negeri Melaka

BAHASA ASAL

Melayu
Jumlah Pembaca
142
Negara Asal
Malaysia
Tahun
1983
Rujukan
Pejabat Mufti Negeri Melaka

Soalan:

Ajaran qadiani ajaran yang sesat. Maka hendaklah diwartakan pengharamannya di negeri ini.

Jawapan:

Puak qadiani/ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menikmati hak-hak sebagai orang Islam termasuk jenazahnya tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Fatwa itu mengikut fatwa Majlis Kebangsaan yang telah diperkenankan oleh Majlis Raja-raja kali yang ke-101 pada 18 jun 1975.

SUMBER:

http://www.e-infad.my/i-fms/index.php?option=com_fatwa&task=viewlink&link_id=299&Itemid=48

Qadiani – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu

Bahasa Asal
Melayu
Jumlah Pembaca
120
Negara Asal
Malaysia
Tarikh Isu
1971-02-01
Tahun
1971
Rujukan
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu

Soalan:

Apakah dia Mazhab Qadiani?

Jawapan:

Kaum Qadiani atau Mazhab Qadiani itu ialah suatu puak yang dinisbahkan kepada kampung yang bernama Qadiani di negeri India. Pengasasnya ialah Mirza Ghulam Ahmad yang telah diperanakkan pada pertengahan kurun yang ketiga belas hijrah.

Pada permulaannya adalah ia salah seorang penyeru-penyeru Islam yang sebenar dan seorang yang mengurniakan masanya bermunazarah dan bertikam lidah dengan musuh-musuh Islam tetapi tidak berapa lama kemudian daripada itu berpaling ia menjadi seorang yang menganjurkan beberapa perkara yang bertentangan dengan pengajaran-pengajaran Islam yang pokok. Kejadian itu berlaku dalam tahun 1298 hijrah bersamaan 1880 Masihi.

Yang aneh dalam anjurannya itu ia mendakwa dirinya menjadi Nabi dan ada kala pula ia mengaku menerima wahyu dan ilham daripada Tuhan. Kadang-kadang katanya dialah “Al-Masih” yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam itu.

Daripada semenjak itu adalah dakwaan-dakwaannya itu sentiasa bercampur baur dengan teori-teori falsafah dan takwil-takwil tasawuf yang tidak ada asas sama sekali dalam Islam, sambil mengubah-ubah akan kehendak-kehendak ayat Quran dan hadis-hadis serta menyentuh apa yang telah diijmakkan oleh ulamak Islam dari semenjak lahir agama Islam hingga kepada zaman ini.

Satu daripadanya ialah ijmak ulamak pada mengatakan bahawa Nabi S.A.W adalah kesudahan bagi sekalian rasul dan nabi. Perbuatannya mengingkarkan ijmak, ini telah membangkitkan kemarahan ulamak-ulamak Islam seantero dunia dari berbagai-bagai mazhab dan fahaman dan masing-masing telah berdiri membangkang akan dakwaannya itu di dalam beberapa buah risalah dan kitab. Di dalam karangan Mirza itu didapati banyak perkataan-perkataan yang berdolak-dalik.

Ia menyetujui akan ijmak ulamak muslimin pada mengatakan Nabi Muhammad S.A.W ialah rasul dan nabi yang akhir, sekali pula ia berkata bahawa makna “ختم” itu maksudnya: “مجاز” (sindiran) sahaja ialah supaya dapat ia meluluskan dakwaan-dakwaannya dan dengan itu dapat diakui oleh pengikut-pengikut dan penyokong-penyokongnya sebagai penganjur dan junjungan mereka.

Dengan sebab terdirinya mazhab yang karut ini, berlakulah berbagai-bagai kacau bilau dan fitnah di antara kaum muslimin di negeri India dan lain-lain tempat dalam dunia. Sebagai jalan ia mengembangkan seruan-seruannya yang sesat itu ia telah menyebarkan dia melalui risalah-risalah, kitab-kitab dan majalah-majalah.

Hingga karangan-karangannya itu terkumpul dalam jilid-jilid yang besar tetapi perkataan yang ditulis di dalamnya adalah berlawanan di antara satu dengan lain. Setengah daripada anjuran-anjurannya yang sesat itu ia telah mengharamkan sembahyang di belakang orang-orang Islam dan mengharamkan nikah kahwin dengan anak-anak perempuan mereka. Selain dari itu, ada berbagai-bagai fikiran, tafsir dan takwil-takwil yang sama sekali berlawanan dengan niat Quran yang sarih dan hadis-hadis serta ijmak ulamak Islam.

Tidaklah hairan bahawa dakwaan-dakwaan itu mendapat sokongan kuat dari seteru-seteru Islam yang mana buktinya dapat disaksikan dari tindakan-tindakannya yang cergas di seluruh dunia pada masa ini. Tetapi tidaklah didapati seorang alim Islam atau seorang mufti di mana-mana negeri Islam pun yang menyokong apatah lagi menyertai dalam gerakan-gerakan mereka itu dengan sebab mereka mengingkar akan pengajaran-pengajaran yang menjadi dasar-dasar Islam.

Yang demikian, hendaklah tiap-tiap orang Islam mengetahui bahawa haram atas seseorang Islam bertaklid atau mengikut pengajaran mazhab Qadiani ini atau mengendah akan perkataan-perkataan mereka kerana mereka itu tidak syak lagi terjumlah daripada puak-puak yang sesat yang menjadi pancaroba kepada umat Islam pada zaman ini. Begitu juga haram atas seseorang Islam membaca akan kitab-kitab karangan mereka itu kerana tiap-tiap satunya adalah mengandungi perkara-perkara yang menyesatkan fikiran-fikiran orang yang berfikiran lurus yang tidak mempelajari betul akan pengajaran-pengajaran Islam yang sebenar.

SUMBER:

http://www.e-infad.my/i-fms/index.php?option=com_fatwa&task=viewlink&link_id=512&Itemid=48