Siapakah Ahlus Sunnah Wal Jamaah?

Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah anutan akidah kebanyakan umat Islam di seluruh dunia. ASWJ merujuk kepada mereka yang berpegang dengan akidah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Sekalipun terdapat pelbagai aliran akidah yang dianuti oleh umat Islam seperti Mujassimah, Syiah dan Muktazilah, hanya ASWJ yang menepati akidah diimani oleh Rasulullah SAW. Namun umat Islam masa kini semakin keliru…siapakah sebenarnya yang dianggap sebagai ASWJ. Sebabnya terdapat beberapa aliran yang mendakwa merekalah ASWJ. Bahkan ada yang menyatakan bahawa golongan Asya’irah bukanlah ASWJ sedangkan majoriti umat Islam di Malaysia bahkan di dunia seluruhnya adalah bermazhab dengan mazhab Asyairah dan Maturidiyyah! ASWJ

Di Sisi Al-Imam Ibnu Al-Subkiyy Al-Imam Ibnu al-Subkiyy menjelaskan siapakah sebenarnya ASWJ menerusi kenyataan beliau di dalam Syarh ‘Aqidah Ibni al-Hajib yang bermaksud: “Ketahuilah
bahawa sesungguhnya ASWJ seluruhnya telah sepakat terhadap akidah yang satu pada apa yang wajib, apa yang harus dan apa yang mustahil sekalipun mereka berbeza pada dalil-dalil dan prinsip-
prinsip yang menyampaikan (seseorang) kepada akidah tersebut.
Kesimpulannya mereka setelah diperhatikan secara teliti adalah tiga kumpulan:

Pertama: Ahli hadis. Keyakinan bagi prinsip-prinsip mereka adalah dalil-dalil al-Sam’iyyah (iaitu) al-Quran, sunnah dan ijmak.

Kedua: Ahli pemikiran iaitu orang yang (menumpukan kepada dalil-dalil) akal. Mereka adalah Asy’ariyyah dan Hanafiyyah ( Maturidiyyah). Guru besar bagi Ash’ariyyah adalah Abu al-Hasan al-As’ariyy manakala
guru besar bagi Hanafiyyah adalah Abu Mansur al-Maturidiyy. Mereka sepakat pada prinsip yang bercirikan akal kepada semua perbahasan yang dalil Sam’iyyah akan terhenti padanya (iaitu
dalil Sam’iyyah yang mesti difahami tanpa sebarang pertentangan dengan kaedah akal).
Mereka juga sepakat kepada prinsip-prinsip yang bercirikan dalil-dalil Sam’iyyah pada apa sahaja
perkara yang akal dapati perkara tersebut adalah harus. Mereka juga sepakat
pada prinsip-prinsip yang bercirikan akal dan bercirikan Sam’iyyah pada selain daripada itu. Mereka
juga sepakat pada setiap perbahasan akidah melainkan beberapa perbahasan (sahaja).

Ketiga: Ahli Jiwa dan Kasyaf. Mereka adalah orang sufi . Prinsip-prinsip mereka pada permulaan adalah
prinsip-prinsip bagi ahli pemikiran dan ahli hadis manakala (prinsip-prinsip mereka) pada penghujung
adalah kasyaf dan ilham”.

Maka jelaslah bahawa ASWJ merujuk kepada tiga golongan yang sekalipun berbeza dari sudut pendalilan
namun mereka sepakat pada prinsip-prinsip akidah iaitu ulama hadis, Asya’irah, Maturidiyyah dan ahli sufi .
Persamaan Zat Allah Dengan Makhluk

ASWJ seluruhnya sepakat bahawa Allah tidak menyamai makhluk sama sekali pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-perbuatan-Nya. ASWJ juga berpandangan, sebarang lintasan hati yang
membawa kepada persamaan antara Allah dengan sebarang makhluk-Nya hendaklah
dinafikan daripada Allah SWT. Mereka sepakat sebarang sifat yang membawa kepada
pemikiran seakan-akan Allah berjasad seumpama Allah bertempat, Allah bergerak
dari satu lokasi ke satu lokasi lain, Allah berjirim dan hasil gabungan beberapa objek, hendaklah dinafikan
daripada Allah SWT kerana ia membawa kepada pemikiran Allah adalah berjisim.

Ayat dan Hadis Mutasyabihat
ASWJ bersepakat Allah tidak menyerupai sebarang ciri yang ada pada makhluk. Namun kadang-kadang ada ayat al-Quran dan hadis yang seakan-akan menyatakan bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat seumpama makhluk. Ayat-ayat dan hadis-hadis ini dikenali dengan mutasyabihat. Maka dalam memahami ayat-ayat dan hadis-hadis seperti ini, ada dua cara olahan daripada ASWJ supaya
ayat dan hadis tersebut tidak bertentangan dengan konsep ketidakserupaan Allah dengan
sebarang makhluk. Majoriti ASWJ daripada golongan salaf (mereka yang hidup pada tiga kurun
pertama) berpendirian untuk mengakui bahawa ayat dan hadis tersebut adalah merupakan firman Allah dan sabda Rasulullah SAW. Namun makna yang seakan-akan menyamakan Allah dengan makhluk
akan ditolak oleh mereka kerana bukan itu makna yang diinginkan oleh Allah sebenarnya. Dalam masa yang sama mereka menyatakan bahawa hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui makna sebenar yang diinginkan daripada ayat dan hadis tersebut. Kaedah ini dikenali dengan nama al-Tafwidh
(Penyerahan) iaitu menyerahkan makna yang diinginkan oleh Allah kepada Allah SWT.
Al-Imam Malik contohnya ketika ditanya berkenaan dengan hadis-hadis mutasyabihat telah berkata:
“Lalukanlah hadis-hadis tersebut sebagaimana ia telah datang tanpa sebarang huraian”.
Begitu juga al-Imam Sufyan bin ‘Uyaynah berpendirian dengan berkata: “Semua sifat yang Allah sendiri telah menyifatkan diri-Nya dengan sifat-sifat tersebut di dalam kitab-Nya, maka tafsirannya adalah membacanya dan senyap daripada (membahaskan maknanya)”.

Adapun majoriti ulama khalaf (mereka yang hidup selepas tiga kurun pertama), mereka terkenal dengan kaedah al-Takwil (Pemindahan) iaitu memindahkan makna yang tidak diingini kepada makna yang bertepatan dengan konsep Allah tidak menyerupai makhluk. Maka al-Takwil bererti menjelaskan kepada umum apakah erti sebenar yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam ayat-ayat dan hadis-hadis
mutasyabihat. Contohnya, mereka akan menyatakan maksud ‘tangan’ dalam ayat ke-73 surah ali-Imran yang bermaksud: Katakanlah: Sesungguhnya lebihan kurnia adalah di tangan Allah. Dia memberinya
kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah adalah Maha Luas lagi Maha Mengetahui adalah ‘kekuasaan Allah’.

Maka perbezaan antara dua kaedah ini adalah hanya pada persoalan: “Adakah kita mahu mencari makna sebenar yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam ayat-ayat dan hadis-hadis mutasyabihat
atau kita sekadar mahu menafikan makna yang mustahil semata-mata tanpa mencari makna sebenar yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya”? Walaupun berlaku perbezaan antara dua cara ini, seluruh ulama ASWJ sepakat bahawa makna yang menyatakan seakan-akan Allah seumpama makhluk
bukanlah makna yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya.


Mentakwil mutasyabihat
bukan salah

Sebenarnya ada kalangan ulama salaf yang mentakwil ayat-ayat al-Quran dan hadis-
hadis Mutasyabihat. Antaranya adalah al-Imam Ahmad bin Hanbal sendiri selaku guru besar ASWJ dari
aliran ahli hadis yang telah mentakwilkan ayat ke-22 daripada surah al-Fajr yang
bermaksud: Tuhanmu telah datang……Lalu beliau menjelaskan maksud ayat ini adalah pahala
yang diberikan oleh tuhanmu telah datang. Pendirian al-Imam Ahmad ini dinukilkan oleh al-Imam Ibnu Kathir di dalam kitab beliau al-Bidayah Wa al-Nihayah. Ini menunjukkan sama ada seseorang ingin berpegang dengan al-Tafwidh atau al-Takwil, dia tidak melakukan kesalahan kerana kedua-dua kaedah ini walaupun berbeza, ia sepakat Allah tidak bersifat dengan sebarang sifat makhluk sama sekali.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq
Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi,
Kaherah di Mesir.

Tidak ada tahfiz yang sengaja tidak mendaftarkan sekolahnya

Image may contain: one or more people and text

Berita yang meluluhkan perasaan. Hati jadi tak karuan kerananya.

Saya yakin , tidak ada tahfiz yang sengaja tidak mendaftarkan sekolahnya. Saya sendiri berpengalaman menguruskan tahfiz sekian lama, saya tahu bagaimana sukarnya untuk mendaftarkan sekolah. Alhamdulillah akhirnya semuanya selesai.

Kalau mereka tidak berdaftar, bantulah mereka untuk mempermudahkan urusan pendaftaran. Bukanlah terus menutupnya. Atau berilah tempoh yang sesuai untuk mereka usahakan urusan pendaftaran. Andai masih belum didaftarkan, barulah diambil tindakan.

Tidak terfikirkah bagaimana keadaan bangunan yang hasil wakaf orang ramai, bagaimana keadaan pelajar-pelajar? Bagaimana pula guru-guru yang susahnya nak mendapat pekerjaan dalam keadaan ekonomi sekarang? Allah Allah. Doa saya agar berita ini tidak benar. Kami hanya mampu menyerahkan sepenuhnya kepada pertolongan Allah.

Jujur, banyak kebaikan hasil dari madrasah tahfiz ini. Tidak ada rugi kita melahirkan pemelihara AlQuran. Janganlah kerana nyamuk seekor, kelambu dibakar.

SUMBER

Tidak salah buat perbandingan agama dalam ceramah: Mufti Negeri Sembilan

SEREMBAN: Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk pendakwah menyatakan perbezaan sesuatu agama ketika berdakwah.

Bagaimanapun beliau menegaskan kenyataan sedemikian tidak sepatutnya menjurus kepada menghina atau merendahkan sesuatu agama.

“Saya sendiri jika memberikan nasihat dalam sesi kaunseling akan memberikan perbezaan agama supaya penerima lebih mudah memahami apa yang kita cuba sampaikan.

“Tetapi kalau menghina memang tidak boleh, kerana itu tidak sesuai dengan ajaran Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menegaskan kaedah dakwah pendakwah Zakir Naik menghina dan merendahkan agama lain tidak sesuai di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof, berkata beliau banyak menyaksikan ceramah yang disampaikan oleh Zakir menerusi laman Youtube dan mendapati penceramah itu sering memberikan perbezaan sesuatu agama jika ditanya pendengar.

“Saya dapati Zakir akan menjelaskan mengenai sesuatu agama itu dengan membuat perbezaan dengan agama lain. Setakat ini, saya tidak nampak dia pernah menghina agama lain,” katanya. – Berita Harian

UCAPAN TUN DR MAHATHIR DAN HAK ASASI MANUSIA

Image may contain: 1 person, smiling, suit

Tidak dapat dinafikan kebanyakan rakyat Malaysia bahkan warga antarabangsa mengagumi ucapan Tun Dr Mahahtir di UNGA dalam ketegasannya isu konflik antarabangsa khususnya isu Palestin-Israel.

Namun dalam ucapan yang panjang tersebut terdapat suatu perenggan yang pendek tetapi akan memberi kesan yang cukup besar terhadap Malaysia.

Tun Dr Mahathir menyebut:

“The new Malaysia will firmly espouse the principles promoted by the UN in our international engagements. These include the principles of truth, human rights, the rule of law, justice, fairness, responsibility and accountability, as well as sustainability. It is within this context that the new government of Malaysia has pledged to ratify all remaining core UN instruments related to the protection of human rights.”

Terjemahan: Malaysia baharu akan teguh menyokong prinsip PBB dalam hubungan antarabangsa kami. Ini termasuk prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesamarataan, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban, selain kemapanan. Kerajaan baharu Malaysia turut berikrar dalam lingkungan sama, untuk mengiktiraf semua baki instrumen PBB berkaitan perlindungan hak asasi manusia.

Tun Dr Mahathir telah menyebut Malaysia menuju ke arah pengiktirafan semua ‘UN instruments’ (conventions) berkaitan Hak Asasi Manusia.

Malaysia sehingga hari ini baru mengiktiraf tiga daripada sembilan UN Human Rights Conventions.

Tiga tersebut adalah:

1. Convention on the Rights of the Child (CRC)
2. Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW)
3. and Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD)

Baki enam yang belum diiktiraf adalah:

1. International Convention Against All Forms of Racial Discrimination (ICERD)
2. International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR)
3. Convention against Torture and other Cruel, Inhuman and Degrading Treatment and Punishment (CAT)
4. International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR)
5. International Convention on the Protection of Right Of Migrant Workers and Members of their Families (ICRMW)
6. International Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance.(CPED)

Pengiktirafan semua convention ini jika dibuat tanpa pengecualian yang teliti akan mengubah identiti negara mengikut nilai liberal demokratik yang berasaskan tiga prinsip iaitu Liberty, Equality dan Fraternity.

Sebagai satu contoh dalam Artikel 18 ICCPR dinyatakan semua manusia bebas menganuti apa-apa agama yang dia pilih dan tiada siapa boleh memberi paksaan atau mengambil tindakan terhadap agama yang dipilih.

Dalam erti kata lain mengenai hal berkaitan Islam orang murtad tidak boleh dihalang dan tidak boleh diambil apa-apa tindakan atas nama hak asasi manusia.

Ini hanya satu contoh daripada banyak lagi kesan yang akan berlaku jika semua convention tersebut diiktiraf.

Sebagai rakyat kita berbangga apabila Tun Dr Mahathir berucap mengenai isu antarabangsa secara berani tetapi akhirnya tindakan susulan hanya akan dibuat oleh negara besar yang kita tahu akan memekakkan telinga. Tetapi ucapan Tun tentang negaranya sendiri akan menjadi satu polisi yang memberi kesan kepada kita secara langsung.

Rakyat Malaysia terutama umat Islam perlu cakna dengan situasi ini, dan perlu mempertahankan Malaysia dari mengimport nilai dan polisi asing ke negara kita.

SUMBER

UMMAH KEDAH MOHON PERDANA MENTERI TUKAR MENTERI AGAMA

Image may contain: 3 people, text

Alor Setar, 26 Muharram 1440 – UMMAH Kedah terkejut apabila Menteri Agama, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengeluarkan kenyataan bahawa “Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat” seperti dilaporkan oleh Sinar Harian Online hari ini.

Pengerusi UMMAH Kedah, Ustaz Noor Hakimi Ab Halim berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa itu sungguh mengejutkan, sekaligus boleh ditafsir sebagai pendirian kerajaan baru PH yang tidak konsisten dalam pencegahan perlakuan maksiat melibatkan umat Islam di negara ini.

“Pendirian menteri Agama yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan sesuatu yang menjengkelkan serta menggalakkan kegiatan maksiat dilakukan dengan berleluasa, katanya.

Noor Hakimi berkata, UMMAH Kedah sungguh terkilan dengan kenyataan, sekaligus pendirian menteri Agama tersebut, bahkan tanpa rasa bersalah beliau beranggapan bahawa pendiriannya tersebut sebagai suatu pembaharuan dalam pentadbiran agama Islam yang akan dilaksanakan di negara ini.

“Apakah ia suatu “pembaharuan” yang positif, jika ia memberi kesan gejala maksiat boleh berlaku dengan berleluasa di negara ini, soal Ustaz Noor Hakimi.

Tindakan beliau mempertikaikan kaedah penguatkuasaan khalwat telah disalahgunakan dan dieksplotasi (merujuk kepada kes tertentu), menjadi alasan bahawa beliau membatalkan pencegahan maksiat tersebbut adalah amat menjengkelkan, tegasnya.

Sesungguhnya, pendirian beliau sebagai suatu mesej untuk mengecilkan peranan Majlis Agama dalam membanteras gejala maksiat di masa depan, sekaligus ia secara langsung menggalakkan maksiat berlaku tanpa sebarang tindakan di masa depan.

UMMAH Kedah menyelar pendirian menteri tersebut, sekaligus melihat beliau tidak layak untuk memegang jawatan tersebut. Melalui pemerhatian UMMAH Kedah, sejak beliau memegang potfolia menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri pelbagai tindakan maupun kenyataannya yang membuka ruang kepada golongan seperti Islam liberal, LGBT dan badan-badan bukan kerajaan yang anti Islam tampil bertindak mempertikaikan kedudukan dan pejalanan pentadbiran Islam di negara ini.

Justeru, UMMAH Kedah menyarankan Perdana Menteri menggantikan kedudukan beliau kepada ahli parlimen lain, demi memastian kedaulatan Islam maupun pejalanan pentadbiran Islam di negara ini berada di landasan yang betul dan terjamin.

“Dr Mujahid bukanlah individu yang layak menjawat sebagai menteri Agama, kerana ia boleh menggugat kedaulatan dan kedudukan Islam di Malaysia, ujar Ustaz Noor Hakimi lagi.

SUMBER

Operasi khalwat tetap diteruskan seperti biasa dan lebih giat lagi – Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor.

No automatic alt text available.

Saya seru agar Dato Dr Mujahid agar letak jawatan Sebagai menteri agama! – Pu Syed

https://www.facebook.com/plugins/video.php?href=https%3A%2F%2Fwww.facebook.com%2Fsyed.ishak.731%2Fvideos%2F276153703231672%2F&show_text=1&width=846

Orang khalwat selalunya ditempat tertutuplah…Mufti Perak

SHAH ALAM – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkaitan penguatkuasaan jenayah khalwat.

Katanya, undang-undang pencegahan maksiat yang dilaksanakan di negara ini sudah menjangkau lebih 50 tahun.

Harussani berkata, sebagai seorang menteri beliau (Mujahid) perlu lebih memahami mengenai undang-undang berkenaan.

“Orang berkhalwat selalunya buat ditempat tertutuplah, kalau ada kesalahan (maksiat) di hotel boleh kita masuk, itu pencegah maksiat buat.

“Jadi kalau tak boleh tegah biarlah orang buat maksiat, tak perlu undang-undanglah, kita laksanakan undang-undang ini sudah lama, tiada masalah pun,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat]

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mujahid yang dipetik berkata tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Sebaliknya tegas Mujahid, apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Mengulas lanjut, Harussani berkata, amalan mencegah maksiat sepatutnya dilaksanakan dimana-mana kawasan sekalipun.

 

“Kita yang salah jika kita tidak cegah, kita kena cegah maksiat dimana pun,” katanya.

Justeru katanya, adalah lebih baik jika Mujahid panggil ‘orang agama’ untuk mengadakan perbincangan sebelum sesuatu kenyataan dikeluarkan.

“Saya rasa kita jangan buat kenyataan di surat khabar tak tentu pasal mari kita bincang dahulu pergi ke jabatan agama, adakan mesyuarat macam mana, jadi kalau kita buat tak tentu pasal ia jadi celarulah,” katanya.

SUMBER

G25 DAN ISU KHALWAT

Mukadimah

Baru-baru ini, sebuah NGO telah menggesa supaya hukuman yang dikenakan kepada pesalah khalwat dimansuhkan. Ini kerana, perbuatan khalwat dianggap sebagai dosa peribadi dan bukannya suatu jenayah. Bahkan menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan tersebut dianggap sebagai mencabuli hak kebebasan individu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum mengupas lebih lanjut isu ini, suka untuk kami jelaskan definisi khalwat itu terlebih dahulu.

 

Definisi Khalwat Dan Hukumnya

Khalwat yang diharamkan dari sudut syarak ialah: Seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang ajnabi jauh dari pandangan mata manusia.

Hukum berdua-duaan seperti ini adalah diharamkan berdasarkan sebuah hadis:

 

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.

Riwayat Muslim (3112)

 

Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini: Apabila bersendirian seorang lelaki ajnabi dan seorang perempuan ajnabiah tanpa adanya orang ketiga bersama keduanya maka ia (berdua-duaan) adalah haram dengan kesepakatan para Ulama. Lihat Syarah Sahih Muslim (9/109)

Setelah kita ketahui hukum perbuatan ini, maka fahamlah kita bahawa ia termasuk dalam perbuatan maksiat. Manakala maksiat wajib diubah sama ada dengan tangan, lisan, mahupun jantung hati.

 

Peranan Amar Makruf Nahi Munkar

Di dalam Islam, tugasan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran adalah salah satu tanggungjawab setiap umatnya. Bahkan kita digelar sebagai sebaik-baik umat dengan melaksanakan amalan tersebut. Tugas ini menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam sebaik sahaja mereka melihat kemungkaran tersebut berdasarkan sebuah hadis :

 

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya : Sesiapa dari kalangan kalian yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan jantung hatinya. Demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman.

Riwayat Muslim (184)

 

Berkata al-Imam al-Nawawi dalam syarahnya ke atas hadis ini: Adapun sifat larangan kepada perkara mungkar dan peringkat-peringkatnya, garis panduannya adalah ucapan Nabi (hadis di atas). Maka ke atas seseorang untuk mengubah kemungkaran dengan setiap bentuk yang dia mampu. Tidak cukup sekadar memberi peringatan bagi sesiapa yang mampu mengubah dengan tangannya. Tidak boleh juga berpada dengan membenci dari hati bagi sesiapa yang mampu menghalang dengan lisan.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: Tidak boleh bagi mereka yang melakukan amar makruf dan nahi munkar mencari-cari  serta melakukan tajassus dan menceroboh ke rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia melihat sesuatu hendaklah dia mengubahnya.

Kata al-Imam al-Mawardi: Sekiranya berat ke atas sangkaan orang yang melakukan hisbah (muhtasib) akan rahsia golongan yang melakukan kemungkaran dengan tanda-tanda dan kesan-kesan yang jelas, seperti dua contoh berikut: Pada perbuatan mungkar itu pencerobohan ke atas kehormatan seseorang yang kita terlepas pandang. Seperti seseorang diberitahu oleh seorang lelaki yang dipercayai dengan kebenarannya bahawa terdapat seorang lelaki yang sedang berkhalwat dengan lelaki lain untuk dia membunuhnya atau dia berkhalwat dengan seorang perempuan untuk dia berzina dengannya. Maka diharuskan untuk bertajassus dan berusaha mendedahkan serta mengingkari maksiat tersebut. Keduanya: Apa yang lebih kurang dari kedudukan ini, maka tidak boleh padanya untuk melakukan tajassus. Lihat Raudhat al-Thalibin (10/220)

 

Bolehkah Tajassus Dalam Mencegah Kemungkaran ?

Sebelum kita mengulas lebih lanjut, perlu kita ketahui terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan tajassus.Menurut al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah, tajassus dari sudut istilah bermaksud: “Mencari cari keaiban dan mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia.” Lihat Tafsir al-Munir (26/247)

Hukum asal bagi perbuatan ini diharamkan berdasarkan firman Allah:

 

وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا

Maksudnya: Dan janganlah kalian melakukan tajassus serta janganlah kalian saling mengumpat antara satu sama lain.

(Surah Al-Hujurat : 12)

 

Kata al-Imam al-Maraghi: Tajassus adalah mencari-cari keaiban yang tersembunyi. Beliau turut menambah: Sebaliknya kamu hendaklah berpuas hati dengan apa yang nyata bagimu mengenai dirinya. Lihat Tafsir al-Maraghi (13/6506)

Berdasarkan pernyataan tersebut, dapatlah kita faham bahawa mencari-cari kesalahan yang tersembunyi merupakan perbuatan yang dilarang dalam ayat tersebut. Sebaliknya, jika kesalahan dan keaiban itu jelas kepada kita maka bolehlah kita mengambil tindakan. Ini dijelaskan lagi dengan kata-kata Abdullah Ibn Mas’ud R.anhu ketika beliau dibawakan kepadanya seorang lelaki yang terdapat titisan arak di janggutnya. Lalu Abdullah berkata: Sesungguhnya kita telah dilarang dari melakukan tajassus. Akan tetapi, apabila jelas kepada kita sesuatu maka kita mengambil tindakan terhadapnya. Rujuk Musannaf Ibn Abi Syaibah (9/86).

 

Tajassus Yang Disyariatkan

Berkata al-Imam al-Ramli yang merupakan tokoh besar dalam mazhab al-Imam al-Syafie: Tidak boleh bagi seseorang untuk mencari-cari kesalahan dan melakukan tajassus serta memecah masuk ke dalam rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Ya, jika berat sangkaannya bahawa berlaku maksiat sekalipun dengan qarinah (petunjuk) yang jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang terpercaya maka dibolehkan untuknya melakukan tajassus. Bahkan wajib ke atasnya untuk melakukan tajassus sekiranya dia khuatir perkara tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya pembunuhan dan perbuatan zina. Lihat Nihayah al-Muhtaj (4/47-49)

Demikian juga al-Imam al-Qadhi Iyadh menyatakan keharusan untuk melakukan tajassus dalam keadaan apabila kita meningggalkan perbuatan tersebut akan berlakulah pencerobohan ke atas kehormatan seseorang yang kita akan terlepas pandang akannya. Sebagai contoh, apabila seseorang diberi khabar dari seorang lelaki yang terpercaya bahawa terdapat seorang lelaki yang berkhalwat dengan lelaki lain dengan tujuan untuk membunuhnya atau dengan seorang perempuan yang dia ingin berzina dengannya maka diharuskan baginya dalam keadaan ini untuk melakukan tajassus. Lihat Al-Ahkam al-Sulthaniah. (Hlm. 366)

 

Pandangan Hujjat al-Islam al-Ghazali

Kata al-Imam al-Ghazali Rahimahullah: Maksiat yang sedang berlaku dan pelakunya sedang melakukannya contohnya memakai sutera, memegang ʿoud (diistilahkan juga sebagai qanbūs atau gambus) dan arak. Maka membatalkan (menghalang) maksiat ini adalah wajib dengan segala yang termampu selama tidak membawa kepada maksiat yang lebih keji atau sama dengannya. Dan ini terpakai kepada mana-mana individu dan rakyat.

Demikian juga, Imam al-Ghazali menambah:  Begitu juga duduk berdua-duaan dengan wanita ajnabī (al-khalwah bi al-ajnabiyyah) itu sendiri adalah perbuatan maksiat kerana ia pada sangkaan, akan terjadi maksiat. Dan mendatangkan sesuatu yang menimbulkan sangkaan maksiat itu adalah maksiat.  Kami maksudkan dengan ‘sangkaan’ itu adalah sesuatu yang dilakukan insan pada kebiasaan untuk terjadinya sesuatu maksiat,  yang mana dia tidak ada kemampuan untuk mencegahnya. Maka, hakikatnya  itu hisbah adalah pada maksiat yang sedang terjadi, tidak berlaku kepada maksiat yang masih dalam jangkaan (boleh jadi berlaku atau tidak). Lihat Ihya’ Ulum al-Din (2/382-384)

 

Beberapa Dalil Dan Perbincangannya

Antaranya:

  • Apa yang diriwayatkan daripada Abd al-Rahman Bin Auf katanya:

حَرَسْتُ لَيلَةً مَعَ عُمَرَ بنُ الخَطَّابِ بالمَدِينَةِ إِذ تَبَيَّن لَنَا سِرَاجٌ فِي بَيتِ بَابِهِ مُجافَى عَلَى قَومٍ لهُم أَصْوَاتٌ مُرتَفِعَةٌ ولَغَط. فَقَالَ عُمَرُ: هَذَا بَيت رَبِيعَة بنُ أُمَيَّة بنُ خَلَف وَهُم الآَن شَرَب فَمَا تَرَى، قُلتُ: أَرَى أَنَّا قَدْ أَتَينَا مَا نَهَى اللهُ عَنهُ وَلَا تَجَسَّسُوا وَقَد تَجَسَّسْنَا، فَانْصَرَفَ عُمَرُ وَتَرَكَهُم

Maksudnya: “Aku pernah satu malam bersama Umar bin al-Khattab membuat rondaan di kota Madinah kemudian kami dapati sebuah rumah adanya pelita yang dipasang dan terdapat satu pintu yang sedikit jauh daripada orang lain. Terdapat padanya beberapa orang yang suaranya kuat dan bising. Maka Umar berkata: “Ini rumah Rabiah Bin Umayyah Bin Khalaf, mereka sekarang minum arak, apa pendapatmu: “jawabku: Aku berpendapat sebenarnya kita telah datang apa yang Allah larang daripadanya iaitu jangan mengintip sedangkan kita mengintip, lantas Umar berpaling dan meninggalkan mereka.”

Riwayat al-Tabarani 1806, al-Hakim 4/419, dan al-Baihaqi 18080. Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih sanadnya dan tidak dikeluarkan oleh Syaikhan. Imam al-Zahabi bersetuju dengan kesahihan hadis ini

  • Dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh Imam al-Qurtubi (16/333), Abu Qilabah berkata:

حَدَث عُمرُ أَنَّ أبَا محجَن الثَّقَفِي يَشرَبُ الخَمْرَ مَعَ أَصحَابٍ لَهُ فِي بَيتِهِ فَانطَلَقَ عُمَرُ حَتَّى دَخَلَ عَلَيهِ فَإِذَا لَيسَ عِنْدَهُ إِلَّا رَجُل فَقَالَ أبُو محجَن: إِنَّ هَذَا لَا يَحلُّ لَكَ قَد نَهَاكَ اللهُ عَنِ التَّجَسُّس ِفَخَرَجَ عُمَرُ وَتَرَكَه

Maksudnya: Umar menceritakan bahawa Abu Mihjan al-Thaqafi minum arak bersama para sahabatnya di rumahnya, lantas Umar menuju ke rumah tersebut dan masuk, didapati tiada di sisinya kecuali seorang lelaki, lantas berkata Abu Mihjan: “Sesungguhnya ini tidak halal bagi kamu dan Allah melarangmu daripada Tajassus (mengintip), maka Umar keluar dan meninggalkannya.”

Riwayat Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (10/232)

Komentar dan Ulasan

Sesungguhnya dua peristiwa di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa sifat pemimpin prihatin dan cakna kepada rakyat. Justeru, amar makruf dan nahi mungkar adalah digalakkan tetapi ditegah melakukan tajassus kecuali dalam beberapa keadaan. Ini bertujuan memelihara hak masing-masing yang perlu dihormati. Antara hak tersebut ialah:

  • Hak ke atas tempat tinggalnya.
  • Ruang kebebasan peribadi.

Begitu juga kadangkala pengintip menghalalkan cara yang haram bertujuan sampai kepada matlamat, perkara seperti ini juga perlu diambil kira.

 

Cadangan Garis Panduan Operasi Tangkap Khalwat

Berikut merupakan beberapa cadanga dhawabith (garis panduan) yang kami kira perlu diambil cakna oleh pihak yang terlibat dalam operasi penangkapan khalwat:

1- Tidaklah serbuan dilakukan semata-mata berdasarkan sangkaan. Bahkan ia dilakukan berdasarkan laporan yang diterima dari individu yang diyakini kebenarannya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Mawardi dan al-Imam al-Ramli. Manakala sekiranya laporan yang disampaikan itu datangnya dari golongan fasiq, hendaklah dilakukan proses tabayyun (selidik) terlebih dahulu pada laporannya.

2- Hendaklah penguatkuasa meminta izin dan memberi salam terlebih dahulu sebelum memulakan serbuan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَاۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡر لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kalian memasuki rumah-rumah selain rumah kalian sehinggalah kalian meminta izin dan memberi salam kepada ahli rumahnya. Yang demikian itu lebih baik untuk kalian mudah-mudahan kalian mendapat peringatan.

(Surah Al-Nuur : 27)

 

Berdasarkan ayat ini, rumah-rumah yang dimaksudkan itu adalah premis-premis kediaman peribadi seseorang yang kita dilarang menceroboh masuk ke dalamnya tanpa izin.

3- Memastikan semua pegawai yang dihantar untuk melakukan operasi tersebut merupakan individu yang terlatih dan mempunyai ilmu pengetahuan terhadap tugasan yang dilakukan.

4- Hendaklah serbuan tersebut dilakukan setelah ada tanda-tanda yang jelas akan berlakunya maksiat yang mana sekiranya kita tidak melakukan serbuan tersebut akan berlakulah maksiat. Ini berdasarkan athar daripada Ibn Mas’ud yang mengatakan:

 

إِن يَظْهَر لَنَا شَيء نَأخُذ بِهِ

Maksudnya: Sekiranya telah jelas kepada kita sesuatu, maka kita mengambil tindakan terhadapnya.

Musannaf Ibn Abi Syaibah (9/86)

 

Dalam konteks kita di Malaysia, tanda-tanda yang jelas ini termasuklah apabila kelihatan dua pasangan yang memang diketahui belum berkahwin tetapi bersekedudukan di dalam rumah atau bilik, maka perlunya maklumat ini disampaikan kepada pihak berkuasa supaya larangan kepada perkara mungkar dapat dilakukan.

Sebahagian pihak mengkritik beberapa tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa semasa melakukan operasi serbuan. Seperti perbuatan menceroboh masuk tanpa izin dan bersikap kasar, menceroboh masuk ke dalam bilik pasangan yang sudah berkahwin, serta beberapa kes lain. Teguran-teguran sebegini tidak dinafikan dalam usaha memastikan operasi pencegahan maksiat tidak menjadi fitnah terhadap agama Islam. Akan tetapi, kaedah fiqah ada menyebut:

 

العِبرَةُ لِلغَالِبِ الشَّائِعِ لا لِلقَلِيلِ النَّادِرِ

Maksudnya: Yang diambil kira itu adalah pada kebiasaan yang meluas, bukannya pada sedikit yang jarang berlaku.

 

Memahami Teks Agama Berdasarkan Rasional Akal

Dewasa kini, terdapat beberapa individu atau golongan yang cuba memahami dan menafsirkan nas-nas agama berdasarkan rasional akal mereka. Bahkan mereka hanya menggunapakai serta berhujah dengan nas-nas yang menepati hawa nafsu mereka dan meninggalkan nas-nas yang dirasakan kurang sesuai. Ini bercanggah dengan prinsip asas kita yang memahami agama berdasarkan wahyu. Kata Saidina Ali R.anhu:

 

لَو كَانَ الدِّينُ بِالرَّأيِ لَكَانَ أَسْفَلَ الخُفِّ أَولَى بِالمَسْحِ مِن أَعلَاه

Maksudnya: Sekiranya agama ini berdasarkan ra’yi (rasional akal) nescayalah bahagian bawah khuf itu lebih utama untuk disapu berbanding bahagian atasnya.

Riwayat Abu Dawud (162)

 

Athar ini tidaklah menafikan peranan akal sebagaimana yang disangka oleh sebahagian pihak. Akan tetapi, athar ini jelas menunjukkan bahawa akal yang sahih dan sejahtera adalah yang bertepatan dengan petunjuk wahyu. Justeru, akal yang sejahtera akan berpandangan bahawa sapuan khuf di bahagian atasnya itu adalah perbuatan yang tepat kerana ia bertepatan dengan pandangan syarak.

Bahkan penggunaan lafaz يَنْظُرُونَ ، يَعْقِلُونَ ، يَتَفَكَّرُونَ  di dalam al-Quran, kesemuanya ini mengisyaratkan agar kita menggunakan akal akan tetapi diselaraskan dengan timbangan syarak. Inilah pendapat yang sebenarnya.

 

Meraikan Uruf Dan Adat Setempat

Di dalam konteks di Malaysia, hendaklah setiap individu menghormati uruf dan adat masyarakat setempat. Ini berdasarkan sebuah kaedah fikah yang masyhur: Al ‘Aadah Muhakkamah. Di sisi masyarakat kita, berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah merupakan satu keaiban yang memalukan. Ia bukan sahaja menimbulkan sangka buruk orang lain terhadap kita bahkan menimbulkan fitnah ke atas maruah diri dan juga keluarga.

Justeru, setiap pihak baik dari kalangan NGO atau mana-mana agensi diharapkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memecahkan keharmonian uruf dan adat setempat di negara kita ini.

Begitu juga kita hendaklah memahami antara prinsip rukun negara ialah menghormati kesopanan dan kesusilaan yang merentasi agama, bangsa dan rakyat yang bernaung sebagai warganegara Malaysia.

 

Dosa Peribadi Dan Perbahasannya

Sebahagian pihak mendakwa, khalwat dan zina termasuk dalam dosa-dosa peribadi yang hanya melibatkan pelaku maksiat dengan Tuhannya. Justeru, kita tidak boleh masuk campur menjatuhkan hukuman kepada pesalah tersebut. Benarkah dakwaan ini ?

Kita katakan bahawa perbuatan ini secara hakikatnya telah mencemarkan dharuriyyat al-khamsah itu sendiri iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga maruah, dan menjaga harta.

Hujah yang sering digunakan ialah sebuah athar dari Saidina Umar bin al-Khattab R.anhu yang mendapati ada seseorang yang meminum arak di dalam rumahnya. Kemudian mereka turut mengaitkan sama keadaannya dengan golongan yang berkhalwat dan berzina di dalam rumah-rumah mereka.

Kita katakan, benarkah khalwat dan zina itu termasuk dalam dosa peribadi ?

Menjawab persoalan ini, kita pecahkan kepada beberapa isi penting:

  • Khalwat hukumnya haram. Ia merupakan wasilah (jalan) ke arah berlakunya zina. Kaedah fikah ada menyebut: Apa-apa yang membawa kepada perkara haram maka ia juga turut haram.
  • Kedua, berdua-duaan akan menjatuhkan maruah individu yang terlibat dan kedua-kedua keluarga pasangan yang berkhalwat. Nama baik keluarga akan tercemar dengan perbuatan ini.
  • Membenarkan khalwat berlaku dengan alasan tidak mahu masuk campur dalam dosa peribadi hanyalah menggalakkan percambahan berlakunya kes zina dalam kalangan masyarakat. Ketika berlakunya zina, akan timbul kes pembuangan dan pembunuhan anak yang akan membawa kepada pencerobohan ke atas maqasid Islam iaitu hifz al-nafs (penjagaan nyawa). Bahkan penzinaan juga akan menyebabkan rosaknya maqasid Islam yang ke empat iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan)

Setelah kita jelas berkenaan perkara-perkara di atas, ketahuilah kita bahawa dakwaan khalwat merupakan dosa peribadi adalah tidak tepat. Bahkan ia merupakan dosa yang melibatkan dua pihak bahkan lebih besar apabila melibatkan kerosakan kepada masyarakat. Justeru, menjadi kewajipan bagi penguatkuasa agama untuk mencegah kemungkaran ini.

 

Perkembangan Idelogi Liberalisme

Kami cukup bimbang akan pengaruh liberalisme yang kelihatan semakin menular dalam kalangan rakyat di negara kita. Fahaman ini telah pun dianggap menyeleweng dari fahaman Islam yang sebenar. Antara ciri fahaman ini ialah:

  • Merelakan nama suci Allah disalahgunakan kepada sembahan bukan Islam.
  • Menyamaratakan kesemua agama atau kepercayaan. Menyamaratakan agama-agama lain dengan agama Islam dan menafikan ketinggian Islam sebagai Agama Negara (Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan)
  • Menganggap kesemua agama adalah benar – Pluralisme Agama.
  • Menganggap perbuatan murtad sebagai hak asasi manusia atau kebebasan dalam beragama.
  • Membela dan mempertahankan ajaran sesat sebagai hak kebebasan berfikir. Manakala institusi fatwa dianggap sebagai penghalang bagi pemilikan dan pelaksanaan hak tersebut.
  • Menuntut hak supaya kanak-kanak yang dilahirkan, tidak ditentukan agama mereka sehinggalah mencapai usia 18 tahun.
  • Memperjuangkan hak kebebasan berfikir sehingga mengetepikan perintah Allah SWT dan ajaran Nabi SAW.
  • Memperjuangkan hak kebebasan asasi sehingga menuntut penghapusan undang-undang syariah di negeri-negeri dan kewajipan amar makruf nahi mungkar.
  • Menuntut hak dan kebebasan bagi pengamal orientasi seks LGBT, meskipun jelas cercaan Allah SWT. Sementara undang-undang negara iaitu Kanun Keseksaan yang memperuntukkan perlakuan seks songsang sebagai kesalahan.
  • Menuntut penghapusan semua bentuk hukuman yang disifatkan sebagai capital punishment, termasuk hukuman mati dan sebat.
  • Menuntut supaya orang bukan Islam diberikan hak dan peluang untuk menyebarkan agama mereka kepada orang Islam meskipun tuntutan tersebut bercanggah dengan Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan.
  • Bertekad menggugat keutuhan akidah dan syariat Islam kononnya mengikut jejak Reformed Jews dan Reformed Christian.
  • Membela kekufuran dan penyelewengan akidah dalam buku-buku pemikiran semasa. Ini termasuklah buku-buku pendukung pemikiran liberal tersohor dari Indonesia dan negara-negara lain seperti “Allah, Kebebasan dan Cinta” tulisan Irshad Manji. Lihat Agenda DIAN 16.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami merasakan amat penting untuk kita sama-sama memuhasabah diri dengan menekuni ilmu terutamanya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam. Iaitu dengan melihat kepada neraca Islam yang sebenar melalui dua sumber al-Quran dan al-Hadis yang difahami teks dan mafhumnya melalui kaedah usuliah yang dikemukakan oleh lisan para ulama dengan perasaan penuh takut kepada Allah SWT. Mereka sekali-kali tidak akan menggadaikan prinsip dalam menafsirkan nas ilahi dan hady al-nabawi (petunjuk Nabi). Akan tetapi, mereka lakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Oleh itu, isu yang dibangkitkan bukan semata-mata dilihat berdasarkan perspektif logik akal atau atas nama hak kebebasan dan hak asasi manusia.

Berkata Syeikh Abdullah bin Bayyah: Slogan hak asasi manusia adalah slogan yang amat menarik dan mempersonakan ramai pihak. Ia digunakan oleh pihak yang benar dan juga pihak yang batil. Justeru, fahamilah kenyataan tersebut dengan kaedah yang sebenarnya yang diterima pakai dalam Islam.

Seringkali kita terkeliru dengan istilah hasil daripada kekaburan dalam menafsirkan istilah tersebut. Makanya, tidak pelik apabila kita tersalah dalam memaksudkan kehendak kita dengan menggunakan istilah yang disalah fahami. Oleh itu, bertanyalah kepada orang yang tahu selaras dengan firman Allah SWT:

 

فَسۡئَ‍َٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: Maka bertanyalah kalian kepada ahl al-zikr (ahli ilmu) sekiranya kalian tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl : 43)

 

Begitu juga dalam membicarakan sesuatu hukum perlulah dirujuk kepada pelbagai bentuk sama ada dari segi teks nas, mafhum nas dan juga fahm al-dalil (memahami dalil) yang sebenar di samping memahami kehendak dalil seperti yang telah dikatakan oleh al-Imam al-Qarafi.

Ingatlah pesanan Saidina Umar bin al-Khattab R.anhu yang mengatakan:

الرُّجُوعُ إِلَى الحَقِّ خَيرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي البَاطِلِ

Maksudnya: Kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari berterusan berada di dalam kebathilan.

Marilah kita sama-sama kembali kepada Islam yang sebenar melalui kefahaman yang sahih tanpa sebarang keraguan tetapi ia benar dari Tuhan Rabb al-‘Aalamin. Saya berdoa kepada Allah supaya Allah tautkan hati-hati kita untuk bersatu dalam membela agama Islam dengan penuh hikmah dan disulami dengan tatasusila yang tinggi serta akhlak yang terpuji.

 

Akhukum Fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

18 Disember 2015 bersamaan 6 Rabiul Awal 1437 H

 

SUMBER

Mencegah kemaksiatan adalah tugas kerajaan – Mufti Negeri Sembilan

SEREMBAN: “Saya rasa Dr Mujahid sudah lupa asas perjuangan Islam. Dulu dia baik-baik saja, tak tahulah kenapa dia berubah sekarang,” kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Mohd Yusof turut kecewa dengan dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang dilaporkan media bahawa tiada lagi tangkapan khalwat dilakukan pada waktu malam.

Mohd Yusof berkata, ketika menjadi pembangkang, Mujahid individu yang sering dilihat mempertahankan Islam namun keadaan kini jelas berubah.

“Jika dia lupa, saya ingatkan semula bahawa mencegah kemungkaran dituntut dalam agama. Ia bukan buatan ustaz-ustaz, individu mahupun Mujahid sendiri tetapi ketetapan Allah SWT,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Mohd Yusof, al-Quran dan hadis mengkehendaki umatnya mencegah kemungkaran dengan kemampuan dan kebolehan sedia ada.

“Mencegah kemaksiatan adalah tugas kerajaan dan anologi diguna pakai bertentangan kehendak Islam,” katanya.

Beliau memberi contoh jika seorang nenek menjerit dalam rumah kerana diancam bunuh oleh cucu dan jeritan didengari penduduk, adakah ia bukan tugas kerajaan mahupun masyarakat?

“Alasan perbuatan maksiat yang berlaku dalam rumah bukan tugas kerajaan adalah salah kerana kita berkemampuan membendungnya,” katanya.

Menurut Mohd Yusof, Mujahid perlu bermuhasabah diri dan ‘berehat’ sekiranya ‘penat’.

“Kenapa semakin lama semakin mengganggu gugat Islam. Bermula isu LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual & Transgender), penutupan pusat tahfiz dan hari ini isu khalwat pula.

“Saya percaya ada desakan daripada pihak tertentu yang mahu mengucar-ngacirkan jabatan agama Islam,” katanya.

Mohd Yusof berkata, dalam pengetahuan, negara ini memiliki enam pusat gay terbesar namun sedikitpun tidak diusik.

“Tetapi mereka mengusik Islam dan percayalah suatu hari nanti mereka jualah yang akan dihadapkan terlebih dulu di hadapan Allah,” katanya.